Zaweeya mengangkat muka apabila merasakan ada pandangan
yang sedang menghala padanya. Seorang
lelaki berbusana amat berbeza berbalam-balam bayangannya di belakang Wafi.
Berseluar panjut dengan kilau kemilau bagai cermin kecil
pecah berderai terlekat di setiap sudut seluar.
Memancar sinar memanah wajah bertambah indah. Bajunya daripada sutera baldu bergelar
ainul-banat, indahnya dicabik sikit dijerumat. Berkain tenun dondon dari tanah
besar China. Tengkoloknya bagai pelangi zaman dahulu, tiap sudut terlipat
menyimpan hikmat. Bagai tersusun hajat
tak sampai.
Di pinggangnya
tersisip keris sempana gajah rias.
Dikata orang retak diturut dek panjut putih, besi dititik besi lalu
ditinting dari keratan tongkat Nabi Adam berasal daripada serpihan khersani.²
“Putera,” terpacul sepatah ayat dari mulutnya. Dia semakin mendekati Wafi.
“Putera Indera Laksamana,” panggil Zaweeya. Berada betul-betul di depan Wafi
sekarang. Wafi menoleh ke kiri dan ke
kanan.
“Yaya,” dipanggilnya nama Zaweeya. Berkali-kali.
Haikal juga mendekat dan memanggil-manggil nama Zaweeya. Jerit-pekit Zakeeya bermain air mati
tiba-tiba setelah diarah diam oleh mamanya.
Wajah sempurna milik Putera Indera Laksamana itu terus
memukau pandangan Zaweeya. Bagaikan mahu
diusap kulit mulus bagaikan telur baru berkupas itu. Pipinya bagai pauh
terlayang dengan hidung kuntum bunga serayu.
Telinga bagai telepuk layu dengan dahi cantik bagai sehari bulan.
Semuanya serba sempurna dengan kening lengkuk taji dan
lehernya jinjang bagaikan buyung Petani.
Segala-galanya serba sempurna dan mengasyikkan. Putera Indera Laksamana
menghulurkan jemarinya. Mereka masih
bertatapan. Bagaikan dialah Kembang
Dahlia yang melagukan ‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’.
“Yaya,” jerit Hidayati melihat Zaweeya terkulai di dalam
dakapan Wafi yang menyambutnya sebaik sahaja dia mulai kehilangan tenaga dan
hampir terkulai di pangkal pokok getah tua itu.
........................................................................................................................................................
Dapatkan novel KABUS RINDU ini dengan harga :
RM18+RM6(kos pos)=RM24(Semenanjung Malaysia),
RM18+RM9(kos pos)=RM27(Sabah&Sarawak)
No comments:
Post a Comment